Tuesday 1 January 2013

PERKONGSIAN HADIS 40 IMAM NAWAWI. oleh Ust Zahazan Mohamed dan Haji Muhammad Zakaria #HADIS 1

" SESIAPA YANG BERHIJRAH KERANA ALLAH DAN RASUL-NYA, DIA KAN SAMPAI KEPADA ALLAH DAN RASUL-NYA. SESIAPA YANG BERHIJRAH MENUJU DUNIA YANG AKAN DIPEROLEHINYA ATAU MENUJU WANITA YANG HENDAK DINIKAHINYA, DIA AKAN MENDAPATKAN APA YANG DINIATKANNYA. "

PAHALA AMAL BERGANTUNG KEPADA NIAT. 

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsah, Umar bin al-Khatab r.a. berkata, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya diterima amal perbuatan itu bergantung kepada niatnya, dan sesungguhnya bagi setiap orang akan mendapat apa yang diniatkannya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, dia akan sampai kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah menuju dunia yang akan deperolehinya atau menuju wanita yang hendak dinikahinya, dia akan mendapatkan apa yang diniatkannya."

(Riwayat al-Bukhari no.1,54,2529,3898,5070,6689,6953,Muslim no.1907, Abu Daud no. 2201, al-Tirmizi no.1646,al-Nasa'i no.1/59-60, VI/158, Ibn Majah no. 4227 dan Ahmad no.1/25,43)

HURAIAN DAN INTI SARI

Pertama
Dalam hadis ini disebutkan kalimah "Diterima amal perbuatan itu bergantung kepada niatnya," Yang dimaksud dengan amal yang dibenarkan syariat. Maksudnya, segala jenis amal yang dibenarkan syariat yang dilakukan tanpa niat, menjadi tidak bernilai apa-apa menurut agama. Misalnya wuduk, mandi wajib, tayamum, solat, zakat, puasa, haji, iktikaf dan ibadah-ibadah lain.

Amal yang tidak memerlukan niat.
  • Meninggalkan perbuatan yang haram.
  • Mengembalikan barang pinjaman.
  • Membersihkan diri daripada majis kerana perbuatan ini termasuk perbuatan menghilangkan barang yang tidak baik.
  • Menyampaikan pemberian atau hadiah orang
Jika berniat juga maka dapat pahala dan menghampirkan diri kepada Allah

Bagaimanapun, ada segolongan ulama yang berpendapat bahawa wuduk dan mandi tetap sah sekalipun tanpa niat. Ini kerana para ulama berbeza pendapat tentang maksud kalimah tersebut.

Sebahagian memahami niat itu sebagai syarat, iaitu amal itu sah hanya apabila disertai niat dan sebahagian yang lain memahami niat itu sebagai penyempurna.

Maksudnya amal itu menjadi sempurna apabila disertai niat.

Kedua
Kalimah "Sesungguhnya bagi setiap orang akan mendapat apa yang diniatkannya" menurut Khathabi menunjukkan pengertian yang berbeza daripada sebelumnya, iaitu menegaskan bahawa sah atau tidaknya amal itu bergantung kepada niatnya.

Juga Syeikh Muhyidin al-Nawawi menerangkan bahawa niat itu menjadi syarat sah sesuatu amal.

Sekiranya seseorang mengqada solatnya yang telah luput, dinilai tidak sah tanpa niat qada. Juga dia harus berniat jenis solat sama ada solat Zuhur, Asar atau lain-lain. Sekiranya kalimah kedua di atas menetapkan pengertian seperti yang pertama, nescaya dibenarkan mencukupkan niat tanpa mengkhususkan perbuatannya, atau asal sudah berniat solat sahaja.

Ketiga
Berhubung kalimah "Sesiapa berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, dia akan sampai kepada Allah dan Rasul-Nya," ahli bahasa Arab menetapkan bahawa kalimah "syarat dan jawabnya", maka begitu juga "mubtada' (subjek) dan khabar (predikat)" haruslah berbeza. Sedangkan dalam kalimah di atas ternyata kedua-duanya sama.

Kerana itu, kalimah syaratnya bermakna niat atau maksud, baik secara bahasa mahupun syariat.

Maksudnya, sesiapa berhijrah dengan niat kerana Allahdan Rasul-Nya, maka akan mendapat pahala daripada hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya itu.

Hadis ini turun kerana seorang lelaki yang mengikut Rasulullah berhijrah dari Makkah ke Madinah kerana ingin mengahwini seorang perempuan bernama Ummu Qais. Dia berhijrah tidak untuk mendapatkan pahala hijrah. Kerana itu dia digelar Muhajir Ummu Qais.
Keempat.
Perbuatan yang di luar lingkungan ibadah iaitu perbuatan yang menjadi tabiat hidup manusia seperti makan, minum, tidur dan sebagainya turut mendapat pahala jika diniatkan untuk memelihara keselamatan dan kesihatan tubuh badan supaya dapat beribadah.

Kelima.
Imam Nawawi membahagiakan amal ibadah kepada tiga:

  1. IBADAH HAMBA: Ibadah orang yang takut kepada Allah.
  2. IBADAH SAUDAGAR: Ibadah orang yang hendak mendapatkan pahala dan syurga.
  3. IBADAH MERDEKA: Ibadah yang sebenar kerana menunaikan tanggungjawab, rasa syukur dan berasa malu kepada Allah.
Keenam.
Kita hendaklah ikhlas dalam amal ibadah dan setiap pekerjaan agar mendapat kemudahan dan kebahagiaan di dunia dan mendapat pahala di akhirat.  

ADAT MENJADI IBADAT MELALUI NIAT.

Rujukan : Buku Hadis 40 Imam Nawawi oleh Ustaz Zahazan Mohamed dan Haji Muhammad Zakaria


No comments:

Post a Comment