Labels

Showing posts with label HADIS. Show all posts
Showing posts with label HADIS. Show all posts

Friday, 11 January 2013

PERKONGSIAN HADIS 40 IMAM NAWAWI. oleh Ust Zahazan Mohamed dan Haji Muhammad Zakaria #HADIS 2

"MENUJU JALAN TUHAN YANG MAHA PERKASA LAGI MAHA TERPUJI, ALLAH YANG MEMILIKI SEGALA APA YANG ADA DI LANGIT DAN DI BUMI." (SURAH IBRAHIM 14 : 1-2)

IMAN, ISLAM DAN AMAL.

Daripada Umar r.a. berkata: "Pada suatu hari kami sedang berada di dalam sebuah majlis bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba tampillah di hadapan kami seorang lelaki yang berpakaian serba putih, berambut sangat hitam, tidak terlihat padanya tanda-tanda bekas perjalanan, dan tidak seorang pun antara kami yang mengenalinya. Lalu duduklah dia di hadapan Nabi SAW, kemudian menyandarkan lututnya pada lutut Nabi dan meletakkan tangannya di atas paha Nabi. Selanjutnya dia berkata: 'Hai Muhammad, beritahukan kepadaku tentang Islam!' Rasulullah SAW menjawab: 'Islam itu, engaku bersaksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan selain Allah dan sesungguhnya Muhammad itu utusan Allah, engkau mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan, dan menunaikan haji jika engkau mampu melakukannya.' Orang itu berkata: 'Engkau benar.' Kami pun berasa hairan, kerana dia bertanya lalu membenarkan. Orang itu berkata lagi: 'Beritahukan kepadaku tentang iman!' Nabi SAW menjawab: 'Engkau beriman kepada Allah, kepada para malaikat-Nya, kepada kitab-kitab-Nya, kepada utusan-utusan-Nya, kepada hari kiamat, dan kepada takdir, yang baik mahupun yang buruk.' Berkatalah orang tadi: 'Engkau benar.' Orang itu berkata lagi: 'Beritahukan kepadaku tentang ihsan.' Nabi SAW berkata: 'Engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihat-Nya. Jika engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia pasti melihatmu.' Orang itu berkata lagi: 'Beritahukan kepadaku tentang kiamat.' Nabi SAW menjawab: 'Orang yang ditanya tentang itu tidak lebih tahu daripada yang bertanya.' Selanjutnya orang itu berkata lagi: 'Beritahukan kepadaku tentang tanda-tandanya.' Nabi SAW menjawab: 'Jika hamba perempuan telah melahirkan tuannya, jika engkau melihat orang yang tidak beralas kaki, tidak berbaju, miskin dan penggembala kambing berlumba-lumba dalam mendirikan bangunan.' Kemudian orang tersebut pun beredar tetapi aku masih diam tercengang (beberapa lama). Kemudian Nabi SAW berkata kepadaku: 'Wahai Umar, tahukan engkau siapakah yang bertanya itu?' Saya menjawab: 'Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.' Nabi SAW berkata: 'Dia ialah Jibril. Dia datang kepada kamu untuk mengajarkan kepada kamu agama kamu.'"

(Riwayat Muslim no. 8, Abu Daud no. 4695, al-Tirmizi no. 2738 dan al-Nasa'i no. 8/97 dengan sedikit perbezaan)

HURAIAN DAN INTI SARI

Daripada hadis ini dapat difahami bahawa "Islam" dan "iman" adalah dua hal yang berbeza, baik secara bahasa mahupun syariat. Inilah pengertian asal daripada dua istilah tersebut.

Namun begitu, dalam pengertian syariat istilah "Islam" terkadang dipakai dengan makna "iman" atau sebaliknya.

Kalimah Satu

Kalimah "Kami pun berasa hairan, kerana dia bertanya lalu membenarkan" bermaksud para sahabat menjadi hairan atas kejadian itu, kerana orang yang datang kepada Nabi SAW tiu hanya dikenali oleh Baginda sendiri dan orang itu belum pernah mereka ketahui bertemu dengan Nabi SAW dan mendengarkan sabda Baginda.

Kemudian dia mengajukan sebuah pertanyaan yang dia sendiri sudah tahu jawapannya bahkan membenarkannya. Oleh kerana itu, orang lain menjadi hairan dengan kejadian ini.

Kalimah Dua.

Kalimah "Engkau beriman kepada Allah, kepada para malaikat-Nya, kepada kitab-kitab-Nya, kepada utusan-utusan-Nya, kepada hari kiamat, dan kepada takdir, yang baik mahupun yang buruk."

BERIMAN KEPADA ALLAH
Maksud "Beriman kepada Allah" ialah mengakui bahawa Allah itu ada dan mempunyai sifat-sifat agung serta sempurna, bersih daripada sifat kekurangan, Dia tunggal, benar, memenuhi segala keperluan makhluk-Nya, tidak ada yang setara dengan Dia, Pencipta segala makhluk, bertindak sesuai dengan kehendak-Nya, dan melakukan segala kekuasaan-Nya sesuai dengan keinginan-Nya.

BERIMAN KEPADA MALAIKAT
Maksud "Beriman kepada para malaikat" ialah mengakui bahawa para malaikat itu adalah hamba-hamba Allah yang mulia, tidak pernah mahu mendahului sebelum ada perintah, dan sentiasa melaksanakan apa yang diperintahkan kepada mereka.

BERIMAN KEPADA KITAB
Maksud "Beriman kepada kitab-kitab-Nya" ialah wajib mengakui Allah menurunkan empat kitab-Nya iaitu:

  1. Zabur kepada Nabi Daud a.s.
  2. Taurat kepada Nabi Musa a.s.
  3. Injil kepada Nabi Isa a.s.
  4. Al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW
BERIMAN KEPADA UTUSAN-NYA
Maksud "Beriman kepada utusan-utusan-Nya" ialah mengaku bahawa para rasul itu jujur dalam menyampaikan segala ajaran yang diterima daripada Allah dan mereka diberi mukjizat-mukjizat yang mengukuhkan kebenarannya. Mereka menjelaskan kepada orang mukalaf apa-apa yang Allah perintahkan kepada mereka.Para rasul itu wajib dimuliakan dan tidak boleh dibanding-bandingkan.

BERIMAN KEPADA HARI KIAMAT
Maksud "Beriman kepada hari kiamat" ialah mengakui adanya hari kiamat, termasuk di dalamnya hidup kembali setelah mati, berkumpul di Padang Mahsyar, perhitungan dan timbangan amal, menempuh jambatan antara syurga dan neraka yang mana kedua-dua tempat ini merupakan tempat pemberian pahala bagi orang yang beramal soleh dan seksa bagi orang yang berdosa.

Wajib juga mempercayai hal-hal lain tentang kiamat yang tersebut dalam al-Quran dan al-Hadis.

BERIMAN KEPADA TAKDIR
Maksudnya "Beriman kepada takdir, yang baik mahupun yang buruk."

Firman Allah, maksudnya: Allah menciptakan kamu dan semua perbuatan kamu. (Surah al-Saffat 37 : 96)

Firman-Nya lagi, maksudnya: Sungguh segala sesuatu telah Kami ciptakan dengan ukuran tertentu. (Surah al-Qamar 54 : 49)

Sabda Rasulullah SAW dalam hadis daripada Ibn Abbas yang bermaksud:
"Ketahuilah, sekiranya semua umat berkumpul untuk memberikan keuntungan kepadamu, tidak akan kamu perolehi selain daripada apa yang Allah telah tetapkan untuk dirimu. Sekiranya mereka berkumpul pula untuk melakukan sesuatu yang membahayakan kamu, nescaya tidak memudaratkan kamu kecuali apa yang Allah telah tetapkan untuk dirimu. Semua pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering dakwatnya."

Mazhab salaf dan para imam khalaf mengatakan, sesiapa membenarkan semua urusan bersungguh-sungguh lagi penuh keyakinan dan tidak sedikit pun terlintas keraguan, maka dia adalah Mukmin sejati.

Baik hal itu dia peroleh daripada bukti-bukti yang pasti atau sekadar daripada keyakinan yang kuat.

Kalimah Tiga.

Kalimah "Beritahukan kepadaku tentang tanda-tandanya." Sabda Baginda: Jika hamba perempuan telah melahirkan tuannya.'"

Beberapa rumusan ayat.

1. Kaum Muslim kelak akan menguasai negeri-negeri kufar, sehingga banyak tawanan. Maka hamba sahaya perempuan banyak yang melahirkan anak tuannya. Anak ini akhirnya akan mendapat kedudukan sebgai majikan kerana kedudukan bapanya.

Hal sebegini menjadi sebahagian daripada tanda-tanda akan datangnya kiamat, iaitu kaum Muslimin mengalahkan kaum Musyrik dan banyaknya kemenangan dan tawanan yang diperolehi kaum Muslimin.

2. Munculnya kerosakan umat manusia, sehingga orang-orang terhormat menjual hamba sahaya yang menjadi ibu kepada anak-anak mereka sehingga menjadi barang yang berpindah-pindah daripada tangan seorang pembeli kepada pembeli yang lain. Ada kemungkinan jatuh ke tangan anak kandungnya tanpa disedari. Ini mengisyaratkan munculnya salah satu tanda hampir kiamat. Hal ini terjadi kerana luasnya kejahilan tentang haram berjual belikan ibu daripada anak-anak sebagai hamba.

Hadis ini juga menyatakan adanya larangan berlumba-lumba membangunkan bangunan yang sama sekali tidak diperlukan. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

"Anak Adam diberi pahala untuk setiap belanja yang dikeluarkannya kecuali belanja untuk mendirikan bangunan."

Rasulullah SAW wafat tanpa pernah meletakkan sebuah batu atau bata untuk membangun sebuah bangunan. Baginda tidak pernah mendirikan bangunan yang kukuh dan juga tidak pernah berlumba-lumba untuk itu.

Kalimah Empat.

Kalimah "penggembala kambing" disebutkan secara khusus, kerana merekalah yang merupakan golongan Badwi yang paling lemah.

Maksudnya, keadaan mereka itu miskin. Secara umumnya mereka tidak mampu mendirikan bangunan.

Berbeza dengan para pemilikunta yang umumnya adalah orang yang berharta.

Kalimah Lima.

Kalimah "Dia datang kepada kamu untuk mengajarkan kepada kamu agama kamu" bermaksud Jibril datang untuk mengajarkan asas-asas agama secara umum menurut Syeikh Muhyidin al-Nawawi  dalam Syarah Sahih Muslim.

Isi hadis ini yang terpenting ialah penjelasan tentang Islam, iman dan ihsan, serta kewajipan beriman kepada ketetapan takdir Allah.

Diriwayatkan daripada Abu Hussain yang dikenali sebagai Ibn Bathal al-Maliki, dia berkata:
" Pendapat golongan ahli sunah baik yang salaf mahupun yang khalaf menyatakan bahawa iman itu berupa perkataan dan perbuatan yang terkadang bertambah, dan terkadang berkurang sperti firman Allah, maksudnya : Untuk menambahkan keimanan mereka pada keimanan yang sudah ada sebelumnya. (Surah al-Fath 48 : 4 )




Tuesday, 1 January 2013

PERKONGSIAN HADIS 40 IMAM NAWAWI. oleh Ust Zahazan Mohamed dan Haji Muhammad Zakaria #HADIS 1

" SESIAPA YANG BERHIJRAH KERANA ALLAH DAN RASUL-NYA, DIA KAN SAMPAI KEPADA ALLAH DAN RASUL-NYA. SESIAPA YANG BERHIJRAH MENUJU DUNIA YANG AKAN DIPEROLEHINYA ATAU MENUJU WANITA YANG HENDAK DINIKAHINYA, DIA AKAN MENDAPATKAN APA YANG DINIATKANNYA. "

PAHALA AMAL BERGANTUNG KEPADA NIAT. 

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsah, Umar bin al-Khatab r.a. berkata, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya diterima amal perbuatan itu bergantung kepada niatnya, dan sesungguhnya bagi setiap orang akan mendapat apa yang diniatkannya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, dia akan sampai kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah menuju dunia yang akan deperolehinya atau menuju wanita yang hendak dinikahinya, dia akan mendapatkan apa yang diniatkannya."

(Riwayat al-Bukhari no.1,54,2529,3898,5070,6689,6953,Muslim no.1907, Abu Daud no. 2201, al-Tirmizi no.1646,al-Nasa'i no.1/59-60, VI/158, Ibn Majah no. 4227 dan Ahmad no.1/25,43)

HURAIAN DAN INTI SARI

Pertama
Dalam hadis ini disebutkan kalimah "Diterima amal perbuatan itu bergantung kepada niatnya," Yang dimaksud dengan amal yang dibenarkan syariat. Maksudnya, segala jenis amal yang dibenarkan syariat yang dilakukan tanpa niat, menjadi tidak bernilai apa-apa menurut agama. Misalnya wuduk, mandi wajib, tayamum, solat, zakat, puasa, haji, iktikaf dan ibadah-ibadah lain.

Amal yang tidak memerlukan niat.
  • Meninggalkan perbuatan yang haram.
  • Mengembalikan barang pinjaman.
  • Membersihkan diri daripada majis kerana perbuatan ini termasuk perbuatan menghilangkan barang yang tidak baik.
  • Menyampaikan pemberian atau hadiah orang
Jika berniat juga maka dapat pahala dan menghampirkan diri kepada Allah

Bagaimanapun, ada segolongan ulama yang berpendapat bahawa wuduk dan mandi tetap sah sekalipun tanpa niat. Ini kerana para ulama berbeza pendapat tentang maksud kalimah tersebut.

Sebahagian memahami niat itu sebagai syarat, iaitu amal itu sah hanya apabila disertai niat dan sebahagian yang lain memahami niat itu sebagai penyempurna.

Maksudnya amal itu menjadi sempurna apabila disertai niat.

Kedua
Kalimah "Sesungguhnya bagi setiap orang akan mendapat apa yang diniatkannya" menurut Khathabi menunjukkan pengertian yang berbeza daripada sebelumnya, iaitu menegaskan bahawa sah atau tidaknya amal itu bergantung kepada niatnya.

Juga Syeikh Muhyidin al-Nawawi menerangkan bahawa niat itu menjadi syarat sah sesuatu amal.

Sekiranya seseorang mengqada solatnya yang telah luput, dinilai tidak sah tanpa niat qada. Juga dia harus berniat jenis solat sama ada solat Zuhur, Asar atau lain-lain. Sekiranya kalimah kedua di atas menetapkan pengertian seperti yang pertama, nescaya dibenarkan mencukupkan niat tanpa mengkhususkan perbuatannya, atau asal sudah berniat solat sahaja.

Ketiga
Berhubung kalimah "Sesiapa berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, dia akan sampai kepada Allah dan Rasul-Nya," ahli bahasa Arab menetapkan bahawa kalimah "syarat dan jawabnya", maka begitu juga "mubtada' (subjek) dan khabar (predikat)" haruslah berbeza. Sedangkan dalam kalimah di atas ternyata kedua-duanya sama.

Kerana itu, kalimah syaratnya bermakna niat atau maksud, baik secara bahasa mahupun syariat.

Maksudnya, sesiapa berhijrah dengan niat kerana Allahdan Rasul-Nya, maka akan mendapat pahala daripada hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya itu.

Hadis ini turun kerana seorang lelaki yang mengikut Rasulullah berhijrah dari Makkah ke Madinah kerana ingin mengahwini seorang perempuan bernama Ummu Qais. Dia berhijrah tidak untuk mendapatkan pahala hijrah. Kerana itu dia digelar Muhajir Ummu Qais.
Keempat.
Perbuatan yang di luar lingkungan ibadah iaitu perbuatan yang menjadi tabiat hidup manusia seperti makan, minum, tidur dan sebagainya turut mendapat pahala jika diniatkan untuk memelihara keselamatan dan kesihatan tubuh badan supaya dapat beribadah.

Kelima.
Imam Nawawi membahagiakan amal ibadah kepada tiga:

  1. IBADAH HAMBA: Ibadah orang yang takut kepada Allah.
  2. IBADAH SAUDAGAR: Ibadah orang yang hendak mendapatkan pahala dan syurga.
  3. IBADAH MERDEKA: Ibadah yang sebenar kerana menunaikan tanggungjawab, rasa syukur dan berasa malu kepada Allah.
Keenam.
Kita hendaklah ikhlas dalam amal ibadah dan setiap pekerjaan agar mendapat kemudahan dan kebahagiaan di dunia dan mendapat pahala di akhirat.  

ADAT MENJADI IBADAT MELALUI NIAT.

Rujukan : Buku Hadis 40 Imam Nawawi oleh Ustaz Zahazan Mohamed dan Haji Muhammad Zakaria


Sunday, 30 December 2012

Andainya Rasulullah masih ada..

INGIN SEKALI MENGIKUT AKHLAKNYA

Aisyah r.a. meriwayatkan: " Saya sama sekali tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w. berusaha untuk membalas kezaliman yang Baginda terima, selama hal itu tidak menyebabkan larangan Allah dilanggar. Jika larangan Allah dilanggar, maka Bagindalah yang paling keras mengungkapkan kemarahan. Jika Baginda dihadapkan kepada dua pilihan, maka Baginda akan memilih yang paling mudah selama (hal yang lebih mudah itu) tidak menyebabkan dosa. "

(Riwayat Tirmizi, Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan Ahmad)

Aisyah r.a. meriwayatkan: " Rasulullah s.a.w. bukanlah orang yang yang keji dan Baginda tidak pernah berbuat keji. Baginda tidak pernah berteriak-teriak di pasar. Baginda tidak pernah membalas keburukan dengan keburukan. Baginda selalu bersikap pemaaf dan berlapang dada. "

(Riwayat Tirmizi, Abu Dawud dan Ahmad)

Aisyah r.a. meriwayatkan: " Rasulullah s.a.w. tidak pernah memukul sesuatu dengan tangannya kecuali ketika Baginda berjuang di jalan Allah. Baginda pun tidak pernah memukul seorang pembantu atau perempuan. "

(Riwayat Tirmizi. Muslim, Ibnu Majah, Darami dan Ahmad)

Saturday, 29 December 2012

Andainya Rasulullah masih ada..

INGIN SEKALI AKU MELIHAT CARA TIDURNYA

Aisyah r.ha. meriwayatkan: " Setiap kali hendak tidur pada malam hari, Rasulullah s.a.w. selalu menyatukan kedua-dua telapak tangan baginda seraya membaca surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas, kemudian Baginda meniup kedua-dua telapak tangan itu, Baginda mengusap bahagian tubuh yang terjangkau bermula daripada kepala, wajah, lalu ke bahagian hadapan tubuh Baginda. Hal itu Baginda lakukan sebanyak tiga kali. " 

(Riwayat al-Tirmizi, al-Bukhari, Abu Dawud, Ibnu Majah, Ahmad dan Nasa'i)

Ibn Abbas r.a. meriwayatkan: " Rasulullah s.a.w. tidur sehingga Baginda berdengkur halus - dan Baginda selalu berdengkur halus ketika tidur - hingga Bilal datang dan melantunkan azan. Saat itu, Baginda bangun lalu melaksanakan solat tanpa berwuduk terlebih dahulu." 

(Riwayat al-Tirmizi, al-Bukhari, Muslim, Nasa'i, Abu Dawud, Ibn Majah dan Ahmad)

Abu Qatadah meriwayatkan: " Jika Rasulullah s.a.w. hendak tidur di malam hari, Baginda berbaring menghadap ke kanan. Jika Baginda hendak tidur sesaat sebelum subuh, Baginda menegakkan lengan dan meletakkan kepala Baginda di atas telapak tangan Baginda."

(Riwayat al-Tirmizi,  Muslim, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Hibban dan al-Hakimi)

Tuesday, 24 January 2012

Beza orang kafir dan muslim itu ialah solat.

DOSA ORANG YANG MENUNAIKAN SOLAT DIHAPUSKAN SEPERTI DAUN YANG GUGUR DARI POHONNYA
Abu Zar RA meriwayatkan bahawa suatu hari, pada musim dedaun sedang berguguran, Rasulullah s.a.w. keluar dari rumahnya. Baginda SAW mengambil ranting dari sebatang pohon yang daun-daunnya sudah mulai gugur dengan lebatnya seraya bersabda : “Ya Abu Zar! Apabila seorang Islam menunaikan solatnya kerana Allah, dosanya gugur seperti daun-daun yang gugur dari pohonnya ini”. (Riwayat Ahmad dengan sanad yang hasan).


10 PERINTAH RASULULLAH KEPADA MUAZ BIN JABAL
Muaz bin Jabal r.a. meriwayatkan, “Rasulullah SAW memerintah atasku sepuluh perkara iaitu:

  1. Jangan mensyirikkan Allah dengan sesuatu walaupun aku akan dibunuh atau dibakar hidup-hidup.
  2. Jangan membantah ibubapaku walaupun aku terpaksa berpisah dengan isteriku atau kekayaanku.
  3. Jangan melengah-lengahkan solat fardu dengan sengaja kerana Allah bebas daripada kewajipan terhadap seseorang yang melengahkan solat fardu dengan sengaja.
  4. Jangan minum minuman keras (minuman yang memabukkan) kerana itulah punca segala maksiat dan keburukan.
  5. Jangan mengingkari Allah kerana itulah yang menyebabkan Dia murka.
  6. Jangan lari dari medan pertempuran walaupun teman-temanku semuanya telah gugur.
  7. Jangan lari dari tempat di mana wabak sedang merebak.
  8. Berbelanjalah atas kaum keluarga.
  9. Rotanilah anak-anak agar mereka menjadi baik.
  10. Berilah amaran kepada mereka (anak-anak) mengenai kecuaian kewajiban-kewajiban mereka terhadap Allah.
(Riwayat Ahmad dan Tabarani)


5 ANUGERAH KEPADA ORANG YANG MENJAGA SOLATNYA
Adalah disebutkan di dalam hadis bahawa Allah SWT menganugerahkan lima kurnia ke atas orang yang menjaga solatnya, iaitu:

  1. Dipermudahkan rezeki.
  2. Diselamatkan daripada azab kubur.
  3. Menerima buku amalan dengan tangan kanannya pada hari kiamat.
  4. Dapat melintas titian sirat pantas seperti kilat.
  5. Masuk syurga tanpa hisab.

5 AZAB BAGI ORANG YANG MELENGAH-LENGAHKAN SOLAT
Bagi orang yang suka melengah-lengahkan solat, dia akan menerima lima jenis azab di dunia iaitu tiga semasa mati, tiga di dalam kubur dan tiga lagi selepas kebangkitan.

Azab di dunia ini adalah :

  1. Tidak dirahmati dalam kehidupan.
  2. Kehilangan nur pada wajahnya (muka orang-orang yang soleh penuh dengan nur).
  3. Tidak menerima pahala bagi amalan-amalannya yang baik.
  4. Doa-doa tidak di makbulkan.
  5. Tidak mendapat bahagian dalam doa-doa orang yang soleh.

Azab semasa dia hendak mati pula adalah :

  1. Mati dalam keadaan aib.
  2. Mati kelaparan.
  3. Mati dalam keadaan dahaga hinggakan air dalam laut di dunia ini tak dapat menghilangkan hausnya.

Azab di dalam kubur bagi orang yang suka melengah-lengahkan solat :

  1. Dihimpit oleh kuburnya sendiri se hingga tulang-tulang rusuknya saling berselisihan
  2. Api menyala di dalam kuburnya dan dia diguling-gulingkan di atas baranya pada siang dan malam.
  3. Ular yang bisa dengan mata berapi dan berkuku besi yang panjang sama dengan perjalanan sebulan dilepaskan ke atasnya. Ular itu akan bertempik seumpama bunyi guruh suaranya,“ Tuhanku telah memerintahkan aku supaya memukul kamu sehingga terbit matahari kerana kamu melengah-lengahkan solat subuh hingga zohor, kerana melengah-lengahkan solat zohor hingga matahari masuk ke lubangnya, kerana melengah-lengahkan solat asar hingga maghrib, kerana melengah-lengahkan solat maghrib hingga isyak, kerana melengah-lengahkan solat isyak hingga fajar. Ular itu terus memukulnya sehingga ke hari kiamat. Setiap pukulan membenamkannya sehingga tujuh puluh hasta ke dalam bumi.

Azab selepas kebangkitan bagi orang yang meninggalkan solat pula ialah :

  1. Hisabnya keras sekali (disulitkan).
  2. Allah s.w.t. murka padanya.
  3. Dicampakkan ke dalam api neraka.

Menurut satu hadis , bagi orang yang meninggalkan solat, akan tertulis tiga baris ayat yang berikut pada dahinya :

  1. Wahai kamu yang melengah-lengahkan kewajiban Allah.
  2. Wahai kamu yang patut menerima kemurkaan Allah.
  3. Kini sesallah kerana kemu melengah-lengahkan kewajiban kamu terhadap Allah.

SABDA RASULULLAH SAW MENGENAI ORANG YANG MENINGGALKAN SOLAT
Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, ”Seseorang yang melengah-lengahkan solatnya (walaupun dia menqqadanya kelak) akan diazab dalam neraka selama satu huqub.”

Satu huqub adalah sama dengan lapan puluh tahun yang terdiri daripada 360 hari setahun dan satu hari di akhirat adalah sama dengan seribu tahun di dunia ini.


HADIS NABI MUHAMMAD SAW MENGENAI KEBAIKAN SOLAT BERJEMAAH
Abdullah bin Umar RA berkata bahawa beliau mendengar Nabi s.a.w. bersabda, "Solat berjemaah adalah 27 kali ganda darjatnya daripada solat bersendirian."


BERITA GEMBIRA BAGI MEREKA YANG SELALU PERGI KE MASJID UNTUK BERSEMBAHYANG
Sahal bin Saad RA menceritakan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda : ‘Berilah berita gembira kepada mereka yang selalu pergi ke masjid pada waktu malam yang gelita kerana mereka akan mendapat cahaya yang sempurna pada hari kiamat kelak”.


KAYU API
Abu Hurairah RA berkata bahawa beliau mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda, ”Aku ingin supaya dapat kusuruh pemuda-pemuda mengumpul kayu api banyak-banyak untukku dan kemudian akan kupergi dari rumah ke rumah orang yang solat di rumah masing-masing (tidak solat di masjid) tanpa sebarang uzur dan membakarnya.”


KEBAIKAN MENUNAIKAN SOLAT BERJEMAAH SELAMA 40 HARI TANPA KETINGGALAN TAKBIR
Anas bin Malik RA berkata bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda, “Seseorang yang selalu solat dengan berjemaah selama 40 hari tanpa ketinggalan takbir pertama akan mendapat 2 jaminan; satu, keselamatan daripada neraka dan kedua, bebas daripada nifaq (munafik).

Monday, 10 October 2011

Berkata Yang Baik-baik, Atau Diam Sahaja

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah shallallahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia itu berkata yang baik-baik atau diam sahaja. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia itu memuliakan jirannya. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia itu memuliakan tetamunya” (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)