Friday 11 January 2013

PERKONGSIAN HADIS 40 IMAM NAWAWI. oleh Ust Zahazan Mohamed dan Haji Muhammad Zakaria #HADIS 2

"MENUJU JALAN TUHAN YANG MAHA PERKASA LAGI MAHA TERPUJI, ALLAH YANG MEMILIKI SEGALA APA YANG ADA DI LANGIT DAN DI BUMI." (SURAH IBRAHIM 14 : 1-2)

IMAN, ISLAM DAN AMAL.

Daripada Umar r.a. berkata: "Pada suatu hari kami sedang berada di dalam sebuah majlis bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba tampillah di hadapan kami seorang lelaki yang berpakaian serba putih, berambut sangat hitam, tidak terlihat padanya tanda-tanda bekas perjalanan, dan tidak seorang pun antara kami yang mengenalinya. Lalu duduklah dia di hadapan Nabi SAW, kemudian menyandarkan lututnya pada lutut Nabi dan meletakkan tangannya di atas paha Nabi. Selanjutnya dia berkata: 'Hai Muhammad, beritahukan kepadaku tentang Islam!' Rasulullah SAW menjawab: 'Islam itu, engaku bersaksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan selain Allah dan sesungguhnya Muhammad itu utusan Allah, engkau mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan, dan menunaikan haji jika engkau mampu melakukannya.' Orang itu berkata: 'Engkau benar.' Kami pun berasa hairan, kerana dia bertanya lalu membenarkan. Orang itu berkata lagi: 'Beritahukan kepadaku tentang iman!' Nabi SAW menjawab: 'Engkau beriman kepada Allah, kepada para malaikat-Nya, kepada kitab-kitab-Nya, kepada utusan-utusan-Nya, kepada hari kiamat, dan kepada takdir, yang baik mahupun yang buruk.' Berkatalah orang tadi: 'Engkau benar.' Orang itu berkata lagi: 'Beritahukan kepadaku tentang ihsan.' Nabi SAW berkata: 'Engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihat-Nya. Jika engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia pasti melihatmu.' Orang itu berkata lagi: 'Beritahukan kepadaku tentang kiamat.' Nabi SAW menjawab: 'Orang yang ditanya tentang itu tidak lebih tahu daripada yang bertanya.' Selanjutnya orang itu berkata lagi: 'Beritahukan kepadaku tentang tanda-tandanya.' Nabi SAW menjawab: 'Jika hamba perempuan telah melahirkan tuannya, jika engkau melihat orang yang tidak beralas kaki, tidak berbaju, miskin dan penggembala kambing berlumba-lumba dalam mendirikan bangunan.' Kemudian orang tersebut pun beredar tetapi aku masih diam tercengang (beberapa lama). Kemudian Nabi SAW berkata kepadaku: 'Wahai Umar, tahukan engkau siapakah yang bertanya itu?' Saya menjawab: 'Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.' Nabi SAW berkata: 'Dia ialah Jibril. Dia datang kepada kamu untuk mengajarkan kepada kamu agama kamu.'"

(Riwayat Muslim no. 8, Abu Daud no. 4695, al-Tirmizi no. 2738 dan al-Nasa'i no. 8/97 dengan sedikit perbezaan)

HURAIAN DAN INTI SARI

Daripada hadis ini dapat difahami bahawa "Islam" dan "iman" adalah dua hal yang berbeza, baik secara bahasa mahupun syariat. Inilah pengertian asal daripada dua istilah tersebut.

Namun begitu, dalam pengertian syariat istilah "Islam" terkadang dipakai dengan makna "iman" atau sebaliknya.

Kalimah Satu

Kalimah "Kami pun berasa hairan, kerana dia bertanya lalu membenarkan" bermaksud para sahabat menjadi hairan atas kejadian itu, kerana orang yang datang kepada Nabi SAW tiu hanya dikenali oleh Baginda sendiri dan orang itu belum pernah mereka ketahui bertemu dengan Nabi SAW dan mendengarkan sabda Baginda.

Kemudian dia mengajukan sebuah pertanyaan yang dia sendiri sudah tahu jawapannya bahkan membenarkannya. Oleh kerana itu, orang lain menjadi hairan dengan kejadian ini.

Kalimah Dua.

Kalimah "Engkau beriman kepada Allah, kepada para malaikat-Nya, kepada kitab-kitab-Nya, kepada utusan-utusan-Nya, kepada hari kiamat, dan kepada takdir, yang baik mahupun yang buruk."

BERIMAN KEPADA ALLAH
Maksud "Beriman kepada Allah" ialah mengakui bahawa Allah itu ada dan mempunyai sifat-sifat agung serta sempurna, bersih daripada sifat kekurangan, Dia tunggal, benar, memenuhi segala keperluan makhluk-Nya, tidak ada yang setara dengan Dia, Pencipta segala makhluk, bertindak sesuai dengan kehendak-Nya, dan melakukan segala kekuasaan-Nya sesuai dengan keinginan-Nya.

BERIMAN KEPADA MALAIKAT
Maksud "Beriman kepada para malaikat" ialah mengakui bahawa para malaikat itu adalah hamba-hamba Allah yang mulia, tidak pernah mahu mendahului sebelum ada perintah, dan sentiasa melaksanakan apa yang diperintahkan kepada mereka.

BERIMAN KEPADA KITAB
Maksud "Beriman kepada kitab-kitab-Nya" ialah wajib mengakui Allah menurunkan empat kitab-Nya iaitu:

  1. Zabur kepada Nabi Daud a.s.
  2. Taurat kepada Nabi Musa a.s.
  3. Injil kepada Nabi Isa a.s.
  4. Al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW
BERIMAN KEPADA UTUSAN-NYA
Maksud "Beriman kepada utusan-utusan-Nya" ialah mengaku bahawa para rasul itu jujur dalam menyampaikan segala ajaran yang diterima daripada Allah dan mereka diberi mukjizat-mukjizat yang mengukuhkan kebenarannya. Mereka menjelaskan kepada orang mukalaf apa-apa yang Allah perintahkan kepada mereka.Para rasul itu wajib dimuliakan dan tidak boleh dibanding-bandingkan.

BERIMAN KEPADA HARI KIAMAT
Maksud "Beriman kepada hari kiamat" ialah mengakui adanya hari kiamat, termasuk di dalamnya hidup kembali setelah mati, berkumpul di Padang Mahsyar, perhitungan dan timbangan amal, menempuh jambatan antara syurga dan neraka yang mana kedua-dua tempat ini merupakan tempat pemberian pahala bagi orang yang beramal soleh dan seksa bagi orang yang berdosa.

Wajib juga mempercayai hal-hal lain tentang kiamat yang tersebut dalam al-Quran dan al-Hadis.

BERIMAN KEPADA TAKDIR
Maksudnya "Beriman kepada takdir, yang baik mahupun yang buruk."

Firman Allah, maksudnya: Allah menciptakan kamu dan semua perbuatan kamu. (Surah al-Saffat 37 : 96)

Firman-Nya lagi, maksudnya: Sungguh segala sesuatu telah Kami ciptakan dengan ukuran tertentu. (Surah al-Qamar 54 : 49)

Sabda Rasulullah SAW dalam hadis daripada Ibn Abbas yang bermaksud:
"Ketahuilah, sekiranya semua umat berkumpul untuk memberikan keuntungan kepadamu, tidak akan kamu perolehi selain daripada apa yang Allah telah tetapkan untuk dirimu. Sekiranya mereka berkumpul pula untuk melakukan sesuatu yang membahayakan kamu, nescaya tidak memudaratkan kamu kecuali apa yang Allah telah tetapkan untuk dirimu. Semua pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering dakwatnya."

Mazhab salaf dan para imam khalaf mengatakan, sesiapa membenarkan semua urusan bersungguh-sungguh lagi penuh keyakinan dan tidak sedikit pun terlintas keraguan, maka dia adalah Mukmin sejati.

Baik hal itu dia peroleh daripada bukti-bukti yang pasti atau sekadar daripada keyakinan yang kuat.

Kalimah Tiga.

Kalimah "Beritahukan kepadaku tentang tanda-tandanya." Sabda Baginda: Jika hamba perempuan telah melahirkan tuannya.'"

Beberapa rumusan ayat.

1. Kaum Muslim kelak akan menguasai negeri-negeri kufar, sehingga banyak tawanan. Maka hamba sahaya perempuan banyak yang melahirkan anak tuannya. Anak ini akhirnya akan mendapat kedudukan sebgai majikan kerana kedudukan bapanya.

Hal sebegini menjadi sebahagian daripada tanda-tanda akan datangnya kiamat, iaitu kaum Muslimin mengalahkan kaum Musyrik dan banyaknya kemenangan dan tawanan yang diperolehi kaum Muslimin.

2. Munculnya kerosakan umat manusia, sehingga orang-orang terhormat menjual hamba sahaya yang menjadi ibu kepada anak-anak mereka sehingga menjadi barang yang berpindah-pindah daripada tangan seorang pembeli kepada pembeli yang lain. Ada kemungkinan jatuh ke tangan anak kandungnya tanpa disedari. Ini mengisyaratkan munculnya salah satu tanda hampir kiamat. Hal ini terjadi kerana luasnya kejahilan tentang haram berjual belikan ibu daripada anak-anak sebagai hamba.

Hadis ini juga menyatakan adanya larangan berlumba-lumba membangunkan bangunan yang sama sekali tidak diperlukan. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

"Anak Adam diberi pahala untuk setiap belanja yang dikeluarkannya kecuali belanja untuk mendirikan bangunan."

Rasulullah SAW wafat tanpa pernah meletakkan sebuah batu atau bata untuk membangun sebuah bangunan. Baginda tidak pernah mendirikan bangunan yang kukuh dan juga tidak pernah berlumba-lumba untuk itu.

Kalimah Empat.

Kalimah "penggembala kambing" disebutkan secara khusus, kerana merekalah yang merupakan golongan Badwi yang paling lemah.

Maksudnya, keadaan mereka itu miskin. Secara umumnya mereka tidak mampu mendirikan bangunan.

Berbeza dengan para pemilikunta yang umumnya adalah orang yang berharta.

Kalimah Lima.

Kalimah "Dia datang kepada kamu untuk mengajarkan kepada kamu agama kamu" bermaksud Jibril datang untuk mengajarkan asas-asas agama secara umum menurut Syeikh Muhyidin al-Nawawi  dalam Syarah Sahih Muslim.

Isi hadis ini yang terpenting ialah penjelasan tentang Islam, iman dan ihsan, serta kewajipan beriman kepada ketetapan takdir Allah.

Diriwayatkan daripada Abu Hussain yang dikenali sebagai Ibn Bathal al-Maliki, dia berkata:
" Pendapat golongan ahli sunah baik yang salaf mahupun yang khalaf menyatakan bahawa iman itu berupa perkataan dan perbuatan yang terkadang bertambah, dan terkadang berkurang sperti firman Allah, maksudnya : Untuk menambahkan keimanan mereka pada keimanan yang sudah ada sebelumnya. (Surah al-Fath 48 : 4 )




No comments:

Post a Comment