Tuesday, 24 January 2012

Cubalah untuk khusyuk!

Sesungguhnya, Allah berfirman yang bermaksud; "Dan berdirilah untuk Allah SWT dalam keadaan taat (yakni khusyuk)". Terjemahan Al-Quran surah al-Baqarah 2:238.

Solat. Ramai yang solat tapi ada yang tak solat. Dalam ramai yang solat, ada yang tak khusyuk. Apa itu khusyuk? Susah sangat ke nak khusyuk?


Solat seseorang tidak akan berkesan tanpa khusyuk. Mengikut Imam Al-Hakim dan Tirmizi, pada suattu ketika nabi ternampak seorang lelaki menyapu janggutnya ketika solat maka baginda pun bersabda, "Jika khusyuk hati lelaki ini akan tenanglah anggota badannya." 

Berkata Imam Al-Alusi, "Khusyuk ialah merendahkan diri dengan perasaan takut di samping tenang anggota badan."

Ibn Jarir meriwayatkan bahawa sahabat Abdullah ibn Abbas berkata, " Mereka yang khusyuk ialah mereka yang takut lagi tenang." 

Sahabat Ali bin Abi TAlib berkata, "(Khusyuk) tempatnya ialah di hati." 

Imam Hassan Al- Basri pula berkata, "Tempat khusyuk ialah di hati dan kemudiannya ia mempengaruhi dan mengawal pandangan mata serta menenangkan anggota badan." 

Pandangan yang agak merangkumi tentang khusyuk ialah pandangan sahabat Abu Darda. Beliau berkata, "(Khusyuk) ialah pengagungan terhadap Tuhan, keikhlasan dalam perkataan, kesempurnaan dalam keyakinan, memberikan sepenuh perhatian dan tidak berpaling ke kiri dan kanan kerana ia adalah syaitan." 



Kesemua pendapat ini disebutkan dalam Al-Asas fit Tafsir oleh Said Hawa. 

Justeru khusyuk di dalam solat adalah PENTING. Namun khusyuk perlu diamalkan tidak hanya di dalam solat. Ia perlu diaplikasikan dalam setiap ibadah yang kita lakukan agar kesannya lebih positif. Di akhir zaman khusyuk alan lenyap dari hati-hati manusia digantikan dengan kelalaian dan kealpaan. mengikut Imam Al-Hakim, sahabat Ubadah bin Samit berkata, "Tidak berapa lama lagi akan sampai satu zaman apabila kamu memasuki masjid kamu tidak akan menemui lagi lelaki yang khusyuk." Ibn Abi Syaibah, Ahmad dan Al-Hakim meriwayatkan, sahabat Huzaifah bin Yaman berkata, " Perkara pertama yang akan luput dari agamamu ialah khusyuk dan akhirnya yang akan luput darimu ialah solat. Ikatan Islam akan terungkai satu demi satu."



No comments:

Post a Comment