Thursday 22 September 2011

NADWAH KEPEMIMPINAN ISLAM

Pada 25 Julai 2011 hingga 29 Julai 2011, Kem NADWAH Kepemimpinan Islam peringkat antarabangsa kali ke-31 telah diadakan di SBPI Batu Rakit, Terengganu. Kem NADWAH ini juga disertai oleh para peserta dari negara luar seperti Thailand dan Brunei. Sekolah Menengah Sains Teluk Intan telah menghantar 6 orang peserta, 3 lelaki dan 3 perempuan ke program tersebut.


Kem NADWAH Kepemimpinan Islam ini diadakan untuk menerapkan kepimpinan Islamik dalam diri peserta-peserta NADWAH sekaligus peserta-peserta Nadwah dapat mengaplikasi segala manfaat yang mereka perolehi semasa kem tersebut di peringkat sekolah. Selain itu, kem ini juga bertujuan untuk memupuk semangat kepimpinan dalam berdakwah dalam diri para peserta terhadap rakan-rakan sekolah. Melalui Kem NADWAH para peserta dapat memahami sepenuhnya tentang organisasi BADAR dan fungsi-fungsinya. Organisasi BADAR juga dimantapkan oleh para peserta NADWAH selepas mengikuti kem tersebut.

Semasa mengikuti kem tersebut pelbagai input menarik yang diterima oleh para peserta. Antaranya ialah mengetahui dengan dekat mengenai ciri-ciri kepimpinan Islam melalui tauladan kepimpinan Sultan Muhammad Al-Fateh. Mempelajari cara berkenal-kenalan yang berkesan dan mengikut anjuran Islam yang sebenarnya melalui sesi taa'ruf (suai kenal). Seterusnya, para peserta Kem NADWAH juga dapat menghayati kebesaran Allah yang terkandung dalam Al-Quran di samping mempelajari cara-cara menyampaikan dakwah seperti yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W.


Di samping itu, para peserta juga dibawa berkunjung ke Taman Tamadun Islam yang terletak di Kuala Terengganu, Terengganu. Di sana terdapat pelbagai monumen bangunan-bangunan Islamik yang terkenal di seluruh dunia. Para peserta dapat mengetahui dengan lebih lanjut mengenai sejarah pembinaan dan latar belakang masjid-masjid Islam di seluruh dunia.



Sepanjang kem tersebut dijalankan, para peserta dapat mengenali rakan-rakan dari pelbagai SBP lain termasuklah pelajar dari luar negara. Keseronokan dapat dirasai apabila para peserta dapat bergaul dengan para pelajar dari Brunei dan Thailand. Sikap ramah mesra dan tutur kata yang sopan memupuk semangat kerjasama dan tautan hubungan silaturrahim yang erat dalam masa yang singkat. Perkongsian ilmu dan kepelbagaian pendapat yang bernas daripada rakan-rakan semasa LDK (latihan dalam kumpulan) dan aktiviti luar dapat mengeratkan hubungan antara ahli kumpulan dan menambah ilmu pengetahuan para peserta.

Suasana di SBPI Batu Rakit yang islamik mewujudkan suasana yang tenang dan harmoni. Antaranya ialah pengalunan ayat-ayat Al-Quran setiap masa, makan bersama-sama, solat berjemaah pada setiap waktu dan memberi salam apabila bertemu dengan pelajar yang lain. Para pelajar SBPI Batu Rakit juga memperlihatkan penghayatan hidup Islam seperti menjaga batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan, bercakap secara berhemah dan berakhlak mulia.


Secara keseluruhannya, para peserta Kem NADWAH berasa amat bersyukur dan bertuah kerana terpilih untuk mewakili sekolah ke kem tersebut. Para perserta Kem NADWAH juga berharap agar Badan Kerohanian dan Dakwah di SEMESTI akan mendapat sambutan yang menggalakkan dari pelajar-pelajarnya. Walaupun BADAR di SEMESTI masih berada di peringkat awalan, tetapi diharapkan organisasi ini mampu untuk mewujudkan ciri-ciri sekolah islamik sekaligus membentuk jati diri para pelajarnya.

Pihak BADAR pula berharap agar para pelajar dan warga SEMESTI memberi kerjasama dan menyokong segala usaha murni yang dilakukan oleh BADAR bagi manfaat bersama. Sekian.

No comments:

Post a Comment